Keledek ganti tembakau

Oleh Shaarani Ismail


PEKERJA sedang menanam ubi Vitato dengan mengunakan mesin penanam sebaris yang dicipta oleh Mardi di Kampung Gong Merchang, Besut.

Vitato kini ditanam berskala besar dan berkelompok mampu beri pendapatan yang agak lumayan

JERTIH: Keledek bervitamin atau lebih dikenali sebagai Vitato kini ditanam berskala besar dan berkelompok oleh 47 peserta Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pelagat, dekat sini khusus bagi menggantikan tanaman tembakau yang kini mula dihentikan secara berperingkat.

Membabitkan kawasan tanaman seluas 50 hektar, rata-rata anggota PPK yang dulunya terbabit dengan tanaman tembakau kini mula beralih arah menanam Vitato yang mampu memberikan pendapatan dan hasil yang agak lumayan.

Selain mampu meningkatkan pendapatan petani yang sebelum ini bergantung sepenuhnya kepada bidang pertanian, Vitato juga berpotensi besar dipasarkan secara meluas kerana permintaannya yang cukup tinggi dan menjadi antara bahan utama digunakan dalam pembuatan kuih, terutama kuih tradisional Melayu.

Ketua Projek Vitato Nasional, PPK Pelagat, Ruslan Abd Rahman, 47, berkata projek mendapat bantuan pembiayaan sebanyak RM410,000 iaitu masing-masing RM205,000 dari Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk tanaman dan sebahagiannya lagi untuk input bahan tanaman.

“Setiap hektar tanaman mampu menghasilkan antara 12 hingga 20 tan Vitato bagi setiap musim yang mengambil masa antara tiga dan empat bulan sebelum boleh dituai.

“Anggaran kasar pendapatan bagi setiap hektar adalah antara RM9,000 hingga RM15,000 jika dijual pada harga kira 75 sen sekilogram,” katanya.

Katanya, kebanyakan peserta yang terbabit dalam tanaman berkelompok ini sudah lama menanam keledek sebagai tanaman bagi menambah pendapatan tambahan tetapi tidak dilaksanakan secara skala besar sebagaimana yang dilaksanakan dengan bantuan LPP.

Peserta, Ishak Yaacob, 57, berkata beliau sudah lama menanam keledek bagi menambah pendapatan selepas berhenti menanam tambakau kira-kira 15 tahun lalu.

“Tetapi ketika itu pasaran untuk keledek sekadar menambah pendapatan kerana nilainya tidak begitu baik sebagaimana keledek Vitato yang diperkenalkan awal tahun ini.

“Tanaman yang baru diperkenalkan awal tahun ini sangat menggalakkan dan mempunyai pasaran yang baik kerana digemari segenap lapisan masyarakat dan selepas kontark pasaran dijalankan dengan Fama (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) petani tidak perlu risau mengenai pemasaran kerana ia dijamin,” katanya.

Bagi Kamaruddin Yusof, 55, kerjasama yang diberikan LPP dan Fama dalam mengusahakan tanaman itu dalam skala besar memberikan banyak manfaat kepada peserta kerana sebelum ini kebanyakan daripada mereka bergantung sepenuhnya kepada tanaman tembakau.

“Kini peserta yang terbabit tidak perlu lagi bimbang kerana projek tanaman yang khusus menggantikan tanaman tembakau ini mampu memberikan pulangan tinggi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Rozi Mamat, berkata bagi memastikan pemasaran yang baik untuk Vitato, kerajaan negeri sudah meluluskan pembinaan sebuah kilang pemprosesan bernilai RM1.5 juta di Setiu.

Katanya, kilang itu nanti diharap mampu menjadi pemangkin terhadap perusahaan Vitato dan mampu mempelbagaikan produk daripada keledek.

“Kajian lanjut juga sedang dilakukan dengan dengan kerjasama Mardi supaya ia boleh diberi nilai tambah supaya pasarannya akan bertambah baik.

“Selain itu potensi Vitato untuk diproses menjadi tepung menggantikan penggunaan tepung gandum juga diharap mampu mengggalakkan petani terbabit menamam Vitato dalam skala besar bagi menambah pendapatan dan menampung permintaannya yang dijangka semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini kawasan yang terbabit dengan tanaman Vitato dalam skala besar adalah kawasan Setiu dan Besut kerana kawasan itu mempunyai banyak tanah beris yang sesuai untuk tanaman Vitato.

Bagaimannpun katanya, beberapa lokasi lain sedang dikenalpasti untuk ditanam dengan tanaman itu bagi memperluaskan kawasan sedia ada.

No Comments

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URL

Sorry, the comment form is closed at this time.