JPH sedia garis panduan menternak ayam

SEBUT saja perusahaan menternak ayam, terlintas di fikiran keadaan persekitarannya kotor, berbau busuk, hanyir, dipenuhi lalat dan cara ternakan kuno atau bersifat tradisional. Kesan pencemaran alam dan bau akibat pembuangan sisa ayam yang diproses secara tidak terkawal dan bersistematik juga memburukkan lagi keadaan.

Penternakan ayam yang tidak sistematik lebih kerap dilihat di kawasan perkampungan, terutama yang mengendalikannya secara kecil-kecilan. Pembinaan ruang reban ayam yang kecil, tidak sempurna, mengabaikan kebersihan dan lokasi tidak bersesuaian turut menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.

Malah, ada sesetengah pengusaha ternakan ayam secara besar-besaran tanpa sistem pengurusan yang betul di kawasan luar bandar. Apa yang menyedihkan kawasan kampung yang selama ini bebas daripada pencemaran udara, terpaksa berhadapan dengan bau busuk tahi ayam.

Keadaan akan lebih buruk apabila penternak terbabit tidak menyediakan sistem saliran sehingga menyebabkan semua sisa buangan tersekat di sungai. Sungai itu kemudian menjadi pusat persinggahan lalat. Ini semua tentunya menimbulkan rasa kurang selesa kepada masyarakat setempat.

Bagaimanapun, terpulang kepada penternak sendiri menentukan kaedah dan amalan ternakan yang baik dan sistematik bagi menghapuskan andaian terbabit, sekali gus mengelak pencemaran alam sekitar.

Maka, pengeluar perlu lebih peka kepada perubahan semasa. Kaedah dan amalan pengurusan perladangan juga perlu berubah. Ladang ternakan harus diuruskan lebih cekap menjadi lebih produktif, berdaya saing dengan aktiviti perladangan yang mesra alam, sekali gus memberikan hasil sesuai untuk makanan masyarakat.

Kini penternak seharusnya sedar perubahan kehendak pasaran dan orang ramai. Oleh itu kaedah amalan pengurusan perlu juga berubah demi kepentingan semua pihak.

Berikutan itu, Kementerian Pertanian menerusi Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) sedang menyediakan garis panduan amalan perladangan ayam yang baik untuk diguna pakai oleh penternak menjalankan perusahaan mereka secara bersistematik dengan menekankan kepada pengurusan ladang berkualiti dan mesra alam sekitar.

Pengarah Perkhidmatan Pembangunan Industri Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH), Dr Ibrahim Che Embong, berkata ketika ini pihaknya masih pada peringkat kajian sebelum mewajibkan semua penternak mengguna pakai garis panduan yang dijangka dilaksanakan menjelang akhir tahun ini.

Katanya, JPH bertanggungjawab memastikan penternak menjalankan kegiatan mengikut peraturan dan garis panduan demi menjaga industri itu berkembang tanpa masalah termasuk pencemaran alam sekitar.

Reban ayam mempunyai dua bentuk, iaitu jenis reban ayam terbuka dan reban ayam tertutup. Ia juga boleh dibina sama ada dibina setingkat atau dua tingkat dengan lantainya dibina menggunakan simen atau papan.

Berdasarkan garis panduan itu, penternak harus membangunkan ladang tidak termasuk di kawasan struktur perancangan pembangunan daerah atau berhampiran kawasan berkemungkinan tinggi akan dibangunkan untuk kepentingan awam.

Pada masa sama, lokasi itu perlu mempunyai kemudahan dan prasarana asas baik, sempurna dan mencukupi termasuk jalan raya atau jalan ladang, sistem saliran, sumber bekalan air bersih dan sistem bekalan elektrik serta mempunyai pengudaraan baik.

“Mengikut garis panduan itu, reban ayam seharusnya dibina di sekitar 0.5 kilometer (km) jarak dari ladang jenis terbuka dan sekurang-kurangnya 0.1 km bagi ladang yang menggunakan reban jenis tertutup,” katanya.

Beliau berkata, bagi mengelakkan pencemaran bau, reban ayam jenis terbuka sepatutnya dibina 20 km dari kawasan pembangunan seperti kawasan perbandaran, perindustrian, pelancongan, penempatan awam dan kemudahan awam manakala reban jenis tertutup pula dibina sekurang-kurangnya 10 km dari kawasan terbabit.

Jarak antara reban sekurang-kurangnya sama dengan lebar reban lain. Satu lagi perkara yang patut diberi perhatian, ladang ayam tidak dibangunkan berhampiran tasik dan kolam yang selalu disinggahi oleh ‘migratory birds’.

Reban dibina di kawasan berasingan dari kawasan premis bukan pengeluaran dan dipagar bagi memisahkan antara kedua-duanya, selain tidak terlalu dekat dengan jalan awam yang sering digunakan oleh kenderaan mengangkut ayam.

Sistem pengudaraan reban yang optimum dan selesa juga menjadi faktor penting supaya ia tidak menjejaskan pertumbuhan dan kesihatan ayam. Suhu paling sesuai adalah di bawah 30 darjah selsius (suhu optimum antara 22 hingga 26 darjah selsius) dan kadar kelembapan dalam reban pula kurang daripada 70 peratus, dengan orientasi memanjang reban mengarah ke timur barat untuk mengurangkan kesan langsung pancaran matahari ke atas ayam.

Dr Ibrahim berkata, ketinggian reban ayam juga harus sesuai, iaitu jenis terbuka dibina dengan ketinggian dinding hingga ke atap adalah sekitar 2.7 meter (m) dan jenis tertutup pula tinggi lantai ke syiling antara 2.1 hingga tiga meter. Semua faktor itu penting untuk mewujudkan peredaran udara yang baik.

Dr Ibrahim berkata, untuk memastikan keadaan alam sekitar sentiasa terjaga, penternak perlu sentiasa menjaga kebersihan di kawasan persekitaran ladang dan premis, termasuk menyelenggara rumput dan tumbuhan di kawasan ladang serta memastikan sistem saliran berfungsi baik.

“Penternak perlu melupuskan segera jika ada ayam mati dan sampah sarap di reban. Mengamalkan kaedah pelupusan sempurna iaitu ditanam dalam lubang dengan kedalaman sesuai atau dibakar di tempat tertutup.

“Ayam yang mati perlu dipungut dan dikendali dengan betul bagi mengelak kemungkinan menjadi punca merebak penyakit. Tahi ayam juga perlu kerap dipungut.

“Penternak perlu memastikan langkah supaya tahap bau di ladang yang terkawal dan tidak mengganggu kesejahteraan persekitaran pada setiap masa.

“Penternak juga perlu mengambil langkah kehadiran lalat di ladang berada di paras minimum. Ia boleh dilakukan dengan menyediakan program kawalan lalat. Pemantauan infestasi lalat pada semua peringkat pemeliharaan secara berkala dan merekod dengan lengkap,” katanya.

Sementara itu, pemantauan status penyakit di ladang secara berjadual perlu ada di samping menyimpan rekod pemantauan penyakit dengan lengkap, teratur dan kemas kini. Ini adalah untuk memudahkan mereka membuat mengenal pasti sebarang penyakit ayam.

Penjagaan dan pengurusan ladang yang teratur penting untuk memastikan ladang bebas dari sebarang penyakit dan segera mengambil tindakan kawalan apabila mengesan wujud penyakit di dalam ladang.

Sebenarnya, sekala penternakan ayam tidak menjadi persoalan utama, sebaliknya bagaimanapun penternak itu mengendali dan menguruskan ladang dengan baik supaya wujud satu suasana persekitaran penternakan yang sihat, selesa dan tidak mencemarkan alam sekitar demi kepentingan pelbagai pihak.

Industri ayam penting kepada negara. Ayam juga adalah makanan popular rakyat.

Pada masa sama, kesan pencemaran disebabkan aktiviti penternakan ayam tanpa kawalan atau keprihatinan meninggalkan kesan negatif. Keseimbangan antara memenuhi permintaan, keuntungan dan kesan kepada alam sekitar perlu dicapai, termasuk penternakan ayam.

No Comments

No comments yet.

RSS feed for comments on this post. TrackBack URL

Sorry, the comment form is closed at this time.