Lepasan diploma sanggup tinggal gaji lumayan tubuh Nuzul Clarich Enterprise majukan projek akuakultur
PORT DICKSON: Tidak ramai wanita, apatah lagi yang masih muda sanggup berhadapan jerit perih mengusahakan aktiviti pertanian, terutama jika saban hari terpaksa bergelumang dengan kekotoran atau bau hanyir yang meloyakan sesetengah orang.
Namun, itu cerita lama kerana sejak kebelakangan ini semakin ramai golongan hawa yang terbabit dalam aktiviti berkenaan, sama ada berbakti kepada tanah atau mengusahakan projek penternakan, baik haiwan ruminan atau sektor akuakultur.
Begitu juga dengan dua sahabat berusia pertengahan 20-an yang sanggup meninggalkan pekerjaan di pejabat berhawa dingin untuk menceburi bidang penternakan ikan keli secara komersial, cabang aktiviti pertanian yang jarang diceburi wanita.
Bagi Engku Nurul Lisa Engku A Rahman, 25, dan Haslah Ali, 26, keputusan untuk menguruskan perniagaan sendiri yang dibuat mereka kira-kira setahun lalu tidak pernah dikesali, malah bersyukur kerana aktiviti ekonomi diusahakan kian berkembang.
Menyingkap sejarah awal pembabitan dalam projek penternakan ikan keli, Engku Nurul Lisa dari Kampung Sawah Sunggala, dekat sini, berkata beliau sebenarnya bertemu dengan Haslah yang berasal dari Kuala Terengganu ketika menyertai satu kursus yang diadakan untuk siswazah di Shah Alam, Selangor, kira-kira tiga tahun lalu.
“Ketika kursus itu, kami bersembang dan bertukar pendapat mengenai pelbagai perkara, termasuk potensi bidang pertanian seperti penternakan ikan keli dan akhirnya bersetuju untuk bersama-sama mengusahakan perniagaan sekarang,” katanya.
Beliau yang pernah melakukan pelbagai kerja makan gaji, akhirnya nekad meninggalkan kerjaya sedemikian kerana bosan dengan suasana kerja yang rutin dan melakukan perkara sama setiap hari, lalu menggunakan ilmu yang diperoleh daripada kursus di Shah Alam itu untuk menjadi usahawan.
“Kursus berkenaan memberi tumpuan kepada cara untuk memulakan perniagaan dan hasil perbincangan dengan keluarga, saya mengambil keputusan mengusahakan projek penternakan ikan keli di kampung dengan bantuan Haslah,” katanya.
Membuktikan komitmen tinggi terhadap perniagaan dan projek penternakan berkenaan, Haslah sanggup meninggalkan pekerjaannya sebagai tenaga pengajar di sebuah kolej dan berpindah menetap di Kampung Sawah Sunggala.
Engku Nurul Lisa, graduan Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi) Politeknik Port Dickson memulakan projek berkenaan setahun lalu dan sejak itu masanya banyak diguna menguruskan ternakan, manakala pemasaran diserahkan kepada Haslah, lulusan Diploma Pusat Latihan Pengajian dan Kemahiran Lanjutan, Shah Alam.
“Saya tidak menyesal walaupun bidang yang diceburi ini jauh berbeza daripada kelayakan akademik yang diperoleh. Bergelar usahawan adalah cabaran untuk saya, tambahan pula saya memang tidak suka bekerja secara rutin iaitu mengikut jadual di pejabat.
“Lagipun, kami menyahut hasrat kerajaan yang ingin melihat lebih ramai belia, terutama graduan menjalankan projek pertanian atau industri asas tani, seterusnya berdikari tanpa berharap mendapat kerja makan gaji selepas tamat belajar,” katanya.
Projek yang diusahakan dua sahabat itu sering dijadikan model kejayaan serta tumpuan lawatan, termasuk pegawai kerajaan dan kenamaan dengan lawatan terbaru dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Sembilan, Datuk Yunus Rahmat.
Melalui syarikat Nuzul Clarich Enterprise, dua sahabat berkenaan kini menternak 30,000 ikan keli dalam 15 kolam yang dibangunkan dengan modal RM190,000 dan mampu mengeluarkan hasil mencecah lima tan metrik setiap bulan.
“Sasaran kami selepas ini adalah untuk meningkatkan hasil. Selain dipasarkan secara segar, syarikat kami juga mengeluarkan ikan keli salai untuk mempelbagaikan produk perniagaan ini,” katanya.
Katanya, bantuan dan khidmat nasihat yang diberikan Jabatan Perikanan banyak membantu menguruskan projek berkenaan dan berazam merealisasikan impian bergelar usahawan tani berjaya di peringkat tempatan dan antarabangsa.
“Perancangan masa depan adalah untuk membiak anak benih keli serta menghasilkan produk hiliran lain seperti bebola, keropok lekor dan kerepek berasaskan ikan,” katanya, yang menyifatkan diri bertuah kerana dilahirkan dalam keluarga yang mempunyai latar belakang berniaga.
Beliau berkata, latar belakang keluarganya itu banyak membantu usaha awal ketika menceburi bidang penternakan ikan keli, terutama dari segi penyediaan kolam, mengepam air bawah tanah, menyediakan makanan ternakan serta kerja pembersihan kolam.
Mengenai tanggapan kerja lasak mengusahakan projek itu boleh menghilangkan sifat kewanitaan, Engku Nurul Lisa berkata, ia tidak sedikitpun menyekat sifatnya seperti wanita lain yang mementingkan kecantikan walaupun setiap hari bergelumang dengan hanyir serta sengatan ikan.
“Kalau badan busuk, banyak wangian atau losyen dijual… pakai saja dan hilanglah bau hanyir itu,” katanya, yang memulakan tugas harian di kolam seawal jam 7.30 pagi bersama Haslah memilih ikan matang untuk dibekalkan ke pasar atau hotel yang membuat tempahan.
Katanya, ikan berusia antara dua hingga tiga bulan atau mencapai berat 100 hingga 130 gram seekor akan ditangkap untuk dijual dengan harga berbeza mengikut gred.
“Urusan memilih dan memasarkan hasil kolam ini selalunya mengambil masa sehingga jam 10 pagi dan selepas itu, kami akan memberi makan ikan yang masih ada di kolam selain menyelesaikan tugasan lain seperti membersihkan kolam atau menghasilkan ikan salai,” katanya.
Engku Nurul Lisa tidak menafikan perniagaan mereka mendapat saingan sengit daripada pengusaha sedia ada yang sudah lama menceburi bidang berkenaan dan berpengalaman, tetapi ia dianggap sebagai saingan sihat dan tidak menggentarkan mereka.
“Bagi saya, di mana ada usaha di situ ada kejayaan, ditambah dengan kepercayaan bahawa Allah tidak kejam kepada hambanya yang berusaha,” katanya, yang sesekali mengikuti kursus berkaitan bidang itu di Pusat Penyelidikan Ikan Air Tawar, Kuala Klawang, Jelebu.
Sementara itu, Yunus berkata, kerajaan negeri sentiasa menggalakkan golongan belia, terutama lepasan institusi pengajian tinggi menceburi bidang pertanian yang turut menjanjikan pulangan lumayan jika diusahakan dengan sempurna.
“Kerajaan memperuntukkan pelbagai jenis bantuan, termasuk pinjaman dan geran kewangan serta latihan berkaitan untuk membantu mereka yang berminat menceburi bidang ini. Belia seharusnya merebut peluang ini dan pada masa sama perlu lebih kreatif serta melihat peluang baru untuk diterokai,” katanya.





